Buat sekian lamanya, para penduduk Taman Persaudaraan Jaya terpaksa
menghadapi kesesakan untuk bersolat Jumaat di Surau Kerjasama yang
ternyata begitu kecil untuk menampung jemaahnya yang ramai. Namun
masing-masing tersenyum kegembiraan selepas solat Jumaat apabila
Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Masjid Ukhuwah mengumumkan bahawa Masjid
Ukhuwah, Taman Persaudaraan Jaya telah pun siap dibina dan akan
dirasmikan oleh Dato Mufti pada hari Ahad yang akan datang.Para
penduduk diminta hadir ke majlis gotong perdana pada hari Sabtu pagi,
sehari sebelum majlis perasmian pada hari Ahad berikutnya.'Gotong Royong
Perdana' dijadualkan bermula seawal jam 8 pagi hari Sabtu tersebut.
Namun menjelang jam 11 pagi, tercerna tanda gusar dan kegelisahan di
air muka Imam Tua. Peluh sejuk menitis deras kerana hanya 3 orang ahli
kariah yang hadir untuk bergotong-royong. Kerja-kerja yang perlu
dilunaskan masih terlalu banyak dan begitu berat untuk dipikul oleh
mereka berempat yang hadir. Imam Tua tidak punyai banyak pilihan
melainkan dengan menghubungi Imam Muda, AJK Masjid, Ketua Kampung dan
ahli kariah yang lain yang belum nampak batang hidung mereka. Panggilan
Imam Tua dijawab dengan pelbagai jawapan dan alasan :-
Imam Muda : Maaf Tuan Imam, mungkin mesej tak sampai kepada orang
ramai. Boleh Tuan Imam hantar semula sms kepada semua ahli kariah yang
lain?
Ketua Kampung : Maaf Tuan Imam, saya akan datang tengahari nanti sebab sekarang ada majlis kenduri anak saudara sepupu.
Ketua Belia 5B : Tuan Imam sepatutnya umum di FB, saya tak ingat ada atau tidak dapat jemputan gotong-royong ni.
Dato Farid : Itulah Tuan Imam, saya sibuk dan awal-awal lagi
saya dah bangkang cadangan gotong-royong ni. Zaman sekarang ni
gotong-royong dah tak sesuai lagi. Bagaimana kalau saya cadangkan Imam
buka tender untuk kemaskan masjid kita, ok tak Tuan Imam...?
Haji Leman : Maaflah Tuan Imam, saya ni dah tua. Ajaklah ahli jemaah yang muda-muda untuk bantu.
Datin Fatimah : Maaf ye Tuan Imam, kami kaum wanita sibuk.
Gotong-royong ni sepatutnya kerja orang lelaki. Di mana orang-orang
lelaki di Taman Persaudaraan Jaya ni...?
Menjelang jam 4 petang, Imam Tua semakin kepenatan. Tambah
lagi dengan kerisauan bahawa Dato' Mufti akan merasmikan masjid baru
keesokan paginya. Keringat sejuk semakin pantas berguguran dan mula
membasahi baju dan seluarnya. Dadanya yang lapang tiba-tiba dirasakan
sempit, Imam Tua mula sesak nafas dan akhirnya terduduk menahan sakit.
Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Imam Tua berpesan agar
ahli kariah mengambil berat mengenai masa depan Masjid Ukhuwah yang
mereka rancangkan bersama.
Bilal yang bergegas datang untuk melaungkan azan segera mengumumkan
pemergian Imam Tua selepas melaungkan azan dan Imam Muda pula pantas ke
Masjid Ukhuwah untuk mengimami solat jenazah tersebut. Manakala ahli
kariah yang lain terus berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir
sambil bercerita mengenai pelbagai jasa dan kebaikan Imam Tua yang
menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika bergotong royong. Namun
kini segala-galanya hanya tinggal sebagai kenangan.
Amalan gotong-royong merupakan suatu tradisi Melayu yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita. Bergotong-royong bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan secara beramai-ramai dan secara sukarela.
Pada satu ketika dahulu, semangat bergotong-royong adalah begitu
kental di kalangan masyarakat kita. Seluruh masyarakat kampung akan
menghulurkan pertolongan, tidak kira sama ada
kematian, kenduri-kendara, musim menanam dan menuai atau semasa
mendirikan rumah.
Faedah dari tradisi gotong-royong:
1. Apabila kita bergotong-royong, kerja yang berat akan menjadi ringan dan kerja yang susah akan menjadi senang.
2. Bergotong-royong memupuk persahabatan dan ukhuwah serta
akan bertindak sebagai jambatan masyarakat atau jamaah yang sejahtera.
Setiap ahli akan mengamalkan hidup bagai aur dengan tebing.
3. Kerja bergotong-royong dapat menjimatkan wang kerana ianya
adalah percuma dan kerja juga akan disiapkan di dalam masa yang pantas.
Namun kini, semangat gotong-royong ternyata kian luntur
selaras dengan perubahan zaman. Keutamaan hari ini sudah berubah
berbanding masa dahulu. Kepentingan berjiran tidak ada kerana kita
tidak nampak kesan baik di depan mata, sebaliknya masyarakat lebih suka
pada apa yang mereka nampak. Salah satu lagi sebabnya juga apabila
ianya dikaitkan dengan masyarakat kini yang lebih bersifat
individualistik dan materialistik.
Saya berpandangan bahawa kita semua bertanggungjawab untuk
menyuburkan semula tradisi Melayu dan budaya Islam ini. Semangat
kekitaan ini perlu dipupuk dalam kalangan semua lapisan masyarakat dan
hidup berjamaah tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan
perumahan kos rendah, di perumahan elit, di bandar atau di
perkampungan, berjawatan tinggi atau pun kelas pertengahan. Dengan
menyebarkan konsep kejiranan dan kekitaan ini, secara tidak langsung,
semangat gotong-royong juga dapat dipupuk samada di kawasan perumahan
kita dan juga di dalam amalan hidup secara berjamaah. Organisasi yang
hebat, juga tampak sukar untuk berjaya mencapai misi dan visinya tanpa
semangat tolong-menolong dan bergotong-royong yang tinggi.
Mari kita insafi firman Allah swt yang bermaksud:-
"Bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan takwa dan jangan bertolong-tolongan dalam kejahatan dan permusuhan." - Surah Al-Maidah (Ayat 2)
Sumber : www.iluvislam.com
0 komentar